Monday, November 15, 2010

Cinta yang semakin KABUR

Dikongsi oleh Prof Dr Ali.....

Jika ditanyakan kepada hati nurani kita yang paling dalam, mana yang lebih
berharga, kemewahan hidup atau kerukunan rumah tangga? Tentu kita akan
menjawab, kerukunan rumah tangga.



Jika ditanya, untuk apa kamu bertungkus lumus bekerja siang dan malam? Tentu
jawab si suami, “kerana isteri dan anak-anakku” Begitulah juga jika
ditanyakan kepada si isteri, tentu jawapanya kerana suami dan anak-anak.



Malangnya, kita sering tertipu. Betapa ramai antara kita yang telah
melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan anak-anak, semasa
mencari kemewahan dan keselesaan hidup? Kita sering terlupa bahawa
kemewahan hidup; harta, rumah, kereta dan sebagainya bukan matlamat tetapi
hanya alat dalam kehidupan ini. Kita memburu alat untuk mencari
matlamat. Ertinya harta dan segalanya itu adalah untuk membahagiakan
rumah tangga kita.



Namun apa yang sering berlaku alat yang menjadi matlamat, matlamat menjadi
alat. Kebahgiaan rumah tangga sering dipertaruhkan dan tergadai dalam
keghairahan kita memburu kemewahan hidup. Kita bekerja demi anak-anak,
tetapi anehnya anak-anak kita abaikan mereka semasa bertungkus lumus
bekerja. Kita tidak sedar, kita terus memburu dan memburu.



Bangun daripada tidur, bergegas terus keluar bekerja. Hampir senja baru
pulang. Tidak cukup dengan itu, ada pula kerja yang kita bawa pulang ke
rumah. Atau kita keluar bertemu pelanggan dalam kerja-kerja “part
time”. Begitulah kita hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun.
Tiba-tiba kita tersentak, mengapa kita sudah jarang menikmati senyum dan
gurauan
isteri? Mengapa kita sudah jarang mendapat sentuhan dan belaian suami?
Mengapa ketawa dan gurau senda sudah semakin hilang dalam rumah tangga?



Ketika itu, hati kita masih mampu memberi alasan. Aku sibuk. Aku sedang
mengejar kejayaan dalam karierku. Sedikit masa lagi, nantilah, bila
segalanya sudah stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga.
Nantilah, aku akan ini, aku akan itu… Begitulah selalunya diri kita memberi
alasan. Dan kita terus selesa dengan alasan, biarlah isteri, suami atau
anak-anak “berkorban” sementara, nantilah kita akan bahagia!.



Jangan keliru. Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu
ada di sepanjang jalan. Carilah bahagia yang ada di sepanjang jalan itu
dengan sentiasa menggenggam rasa cinta selamanya. Carilah harta, tetapi
genggamlah cinta. Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu
sekuat-kuatnya. Jangan diabaikan cinta itu. Tunaikanlah hukum-hukum cinta
dalam apa jua keadaan.



Antara hukum cinta yang paling diutamakan ialah cinta itu memberi, cinta itu
mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan
dan cinta itu memaafkan. Contohnya jangan kesibukan menyebabkan kita
jarang memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan
kita. Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat
“kosmetik”, tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat
dilihat dan dirasa.


Wallahu 'alam.

2 comments:

Unknown said...

salam man..perkongsian yang sangat bagus,perkara yang sudah menjadi kebiasaan dalam hidup dan ditengah kesibukan yang berpanjangan kadangkala terfikir dan berfikir "apa yang aku cari dalam hidup ni?"...yup bahagia!jadi,carilah bahagia dalam apa jua perkara yang kita lakukan....tq man for sharing!

azman said...

wslm,ermm insyaAllah moga ada kebahagiaan untuk kita semua di akhirnya....di akhir+at= di Akhirat, insyaAllah amiiin..=)